Siti bawa ilham Celine Dion

Datuk Siti Nurhaliza akan mengadakan konsert solo di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Jun 2009.

Lama Siti tak mengadakan konsert. Malah sejak menukar imej berselendang, inilah kali pertama konsert solonya diadakan di Malaysia.

Siti menjanjikan persembahan terbaik dengan membawa ilham yang diperolehi daripada konsert Celine Dion yang pernah ditontonnya sebelum ini.

Kiranya elemen hebat yang ada dalam konsert idolanya itu diambil dan akan dipersembahkan dengan menyuntik ciri-ciri beliau yang tersendiri.

Apabila menggunakan pentas Istana Budaya, pastilah ciri-ciri pentas terbaik itu juga akan membantu mencantikkan lagi Konsert Eksklusif Satu yang dibawakan olah Yayasan Nurjiwa itu.

"Pastilah kita akan menggunakan kemudahan yang ada di Istana Budaya. Rugi kalau tak gunakan kalau dah dibuat di sini," kata Pengarah Konsert itu, Pat Ibrahim.

Pat juga membayangkan menggunakan prop yang gah seperti tangga besar bagi menampakkan konsert tersebut berskala besar dan ada kelainan daripada konsert Siti yang terdahulu.

altMalah elemen teater juga turut diserapkan sesuai dengan tema konsert itu sendiri yang mengisahkan perjalanan Siti dari awal kemunculan sehingga ke hari ini.

"Lagu-lagu yang dipilih mengisahkan gambaran perasaan dan apa yang Siti lalui sepanjang menjadi penyanyi.

"Siti pilih lagu-lagu yang mewakili perasaan Siti semasa awal kemunculan, apabila lagu-lagu popular, menerima kejayaan, kesedihan dan marah apabila timbul macam-macam gosip, percintaan sehingga apa yang berlaku pada Siti hari ini," kata Siti.

Cara Siti beramal

Sebahagian kutipan tiket konsert tersebut akan diagihkan kepada badan amal yang memerlukan bantuan.

Pihak Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa belum memutuskan rumah kebajikan yang akan menerima sumbangan mereka.

"Orang yang menonton persembahan ini sebenarnya turut menderma kerana kutipannya akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa," kata Siti.

Bagi yang ingin menderma dan tidak berkesempatan menonton masih boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke altakaun Maybannk Yayasan Nurjiwa iaitu 514486106455. Nombor faksilimi pula, 03-22877339.

Masih digosip

Sejak berkawan sehingga berkahwin dengan Khalid, Siti tak habis-habis dilanda gosip. Cerita Khalid berkahwin lain masih diperkatakan orang.

"Siti harap orang yang menyebarkan cerita yang tidak benar itu akan kembali ke pangkal jalan.

"Siti dan suami ada juga baca tabloid yang siarkan pengakuan seorang wanita yang menafikan dia berkahwin dengan Khalid sebaliknya mengatakan namanya sama dengan nama wanita yang diperkatakan.

"Siti bersyukur kerana sehingga saat ini Siti diberi kesabaran untuk menghadapi semua ini," kata Siti lagi.

Dia dan suami mengambil sikap berdiam dan tidak memanjangkannya ke peringkat yang lebih tinggi, mahkamah misalnya.

Masih teringat arwah bapa

Konsert tersebut juga diadakan sempena Hari Bapa. Kebetulan Siti sekarang sudah kehilangan bapanya.

"Ada juga lagu yang Siti akan sampaikan nanti menggambarkan dedekasinya kepada arwah bapa.

"Mungkin ada gambar kenangan arwah bapa akan dipaparkan pada skrin. Siti dah cakap kepada Pat, buatlah apa sahaja dan jangan beritahu Siti.

"Bukan apa, Siti takut nanti kalau Siti tengok dan timbul rasa sebak... takut tak boleh meneruskan persembahan," kata Siti lagi.

alt

Post a Comment

0 Comments